Johari Fotographer

“Capturing moments from today…Creating memories for a lifetime.”!

Johari Fotographer

“The picture that you took with your camera is the imagination you want to create with reality”!

Johari Fotographer

“The most important day is the day you decide you’re good enough for you. It’s the day you set yourself free.”!

Johari Fotographer

“Photography is the quintessence of a telling memory where it allows us to preserve time in a photograph.”!

Our Blog

SEJARAH PERJUANGAN PDRM DALAM MENCAPAI DAN MENGEKALKAN KEMERDEKAAN NEGARA


'SEMANGAT DIJULANG, BAKTI DIKENANG'
Pendahuluan
Imbasan awal sejarah kepolisan Negara yang telah mencapai usia 200 tahun adalah bermula dengan berkuatkuasanya Piagam Keadilan (Charter Of Justice) di Pulau Pinang pada tahun 1807. Namun begitu, menyusuri sejarah awal peranan kepolisan negara,ia telah bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi yang telah mewujudkan jawatan seperti Bendahara dan Temenggung yang bertindak sebagai pelaksana dan penguatkuasa undang-undang yang menjurus kepada undang-undang adat atau undang-undang syariah.
Penubuhan institusi polis yang moden dan sistematik telah bermula di Pulau Pinang pada 25 Mac 1807 yang menjadi titik permulaan kepada lahirnya pasukan polis di Negara ini. Ketua Pasukan Polis yang pertama ialah Encik James Carnegy yang dilantik sebagai Sheriff bagi Prince of Wales Island (Pulau Pinang). Pasukan yang dianggotai sepenuhnya oleh anak tempatan ini telah menjadi perintis kepada pasukan polis di negeri-negeri lain. Negeri Melaka telah menubuhkan pasukan polisnya pada tahun 1827. Kedua-dua pasukan in kemudian bergabung membentuk pasukan Polis Negeri-Negeri Selat.
Manakala pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pula telah ditubuhkan serentak dengan pembentukkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1 Julai 1896. Kapten H.C Syers, Penguasa Polis Negeri Selangor telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang pertama. Sementara itu, penubuhan pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu pula seperti negeri Johor, telah mula ditubuhkan pada tahun 1882, di negeri Kedah dan Kelantan pada tahun 1909 dan di negeri Terengganu pada tahun 1914. Di negeri Borneo Utara pula, pada 1862 pasukan Polis Sarawak ditubuhkan diikuti dengan Sabah pada tahun 1882.
Setelah Tanah Melayu bebas daripada pendudukan Jepun, pentadbir British yang mengambil alih pentadbiran di Tanah Melayu telah mengabungkan pasuka Polis Negeri-Negeri Selat, pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah pasukan Polis Malayan Union yang berpusat di Kuala Lumpur pada tahun 1946. Apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1948, nama pasukan Polis Malayan Union ditukar kepada Polis Persekutuan Tanah Melayu dan diletakkan di bawah perintah seorang Pesuruhjaya Polis. Pada 16 September 1963, pasukan Polis di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura telah disatukan dan dikenali dengan nama Polis Diraja Malaysia dengan diterajui oleh seorang Ketua Polis Negara.
Ujian Getir Pasukan Polis
Pengisytiharan 'Darurat' di Persekutuan Tanah Melayu pada 16 Jun
1948 merupakan detik-detik penuh getir bagi pasukan polis yang telah diberi mandat utama dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara daripada digugat oleh pengganas komunis. Negara pada ketika itu, baru sahaja mengorak langkah memulihkan keadaan setelah mengalami pendudukan Jepun hampir tiga tahun yang telah melumpuhkan pasukan-pasukan Polis Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat.

Anggota "Special Constabel" dalam Satu gerakan Ketika Darurat
Sepanjang tempoh Darurat daripada tahun 1948-1960, pasukan polis bersama pasukan keselamatan yang lain menjadi teraju utama dalam merancang strategi dan bertindak membanteras keganasan komunis. Berikutan daripada itu, kekuatan 11,288 anggota yang terdiri daripada pelbagai pangkat telah bertambah secara mendadak ketika kemuncak Darurat dalam tahun 1952 iaitu sebanyak 7 kali ganda menjadi 75,281 orang anggota yang terdiri daripada 31,164 polis biasa dan 44,117 Konstabel Khas. Disamping itu, pasukan polis juga telah memperolehi bantuan seramai 88,000 orang anggota Polis Bantuan (Auxiliary Police). Beberapa unit telah ditubuhkan seperti Flying Squad pada 1948, Jungle Squad dan seterusnya disusun semula menjadi Jungle Company pada tahun 1951. Pada tahun 1953, Jungle Company telah dilakukan penyusunan semula menjadi Pasukan Polis Hutan.
Dalam jangka masa 12 tahun, seramai 10,698 pengganas komunis telah dibunuh, ditangkap dan menyerah diri di seluruh Negara. Daripada itu, sejumlah 5,792 orang yang telah dihapuskan adalah hasil usaha gigih pasukan polis. Manakala di kalangan anggota pasukan polis sendiri turut mengalami kecerderaan yang tinggi. Daripada sejumlah 4,425 kecederaan dan kematian yang dialami oleh anggota pasukan keselamatan ketika Darurat, seramai 1,346 orang anggota adalah daripada pasukan polis yang terbunuh manakala 1,601 orang lagi mengalami kecederaan.


Polis Malaya dalam rondaan menghapuskan komunis
Kebangkitan semula Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1968 telah membawa kepada penubuhan pasukan 'Elit' Polis Hutan yang dinamakan Komando PPH 69 pada 25 Oktober 1969. Kemahiran dan kepakaran mereka dalam selok-belok peperangan di hutan telah berjaya menghapuskan pengganas komunis. Perjuangan PKM telah berakhir dengan termeterainya Perjanjian Perletakkan Senjata yang telah ditandatangani oleh pihak PKM dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand di Haadyai, Thailand pada 2 Disember 1989. Manakala pada 17 Oktober 1990, satu lagi perjanjian damai di antara kerajaan Malaysia dan Biro Ke-2, Parti Komunis Kalimantan Utara telah ditandatangani di Kuching, Sarawak. Perjanjian ini telah berjaya menamatkan semua kegiatan komunis di Malaysia.
Wanita Dan Polis
Sumbangan kaum wanita dalam bidang kepolisan telah bermula seawal sebelum kemerdekaan lagi, iaitu apabila pasukan Polis Wanita telah ditubuhkan secara rasmi pada bulan Ogos 1955. Usaha melatih golongan perintis Polis Wanita yang sebahagiannya terdiri daripada wanita-wanita tempatan yang telah direkrut sebagai Polis Khas ini telah dilaksanakan dengan meminjam khidmat kepakaran daripada seorang polis wanita Inggeris, Cik B.D.B Wentworth. Penubuhan pasukan Polis Wanita ini adalah bagi membantu usaha kerajaan menyekat gerakan subversive PKM dengan melancarkan operasi menyekat bekalan makanan kepada pengganas.
Kini, pasukan Polis Wanita telah berkembang maju dan memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam mengekalkan kemerdekaan dan keamanan Negara. Pasukan ini bukan sahaja menjalankan tugas mengawal pesalah wanita dan kanak-kanak, malah diberi tanggungjawab menjalankan tugas kepolisan yang mencabar dan berbahaya seperti mengawal rusuhan.
Pengiktirafan Kepada Pasukan Polis
Tanggal 24 Julai 1958, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Mohamad telah berkenan menganugerahkan gelaran 'DIRAJA' kepada pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu. Penganugerahan ini merupakan penghargaan dan perhormatan atas pengorbanan dan perkhidmatan cemerlang semasa Darurat oleh pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu kepada Negara.
Pada 11 November 1961, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah berkenan mengurniakan Panji-Panji Utama kepada pasukan Polis Diraja Persekutuan. Pengurniaan tersebut merupakan satu penghargaan sebagai mengenang jasa dan pengorbanan anggota polis dalam memelihara keselamatan rakyat dan mempertahankan keamanan Negara daripada ancaman pemberontakkan bersenjata komunis semasa Darurat yang berlaku selama 12 tahun.
Pegawai-pegawai Polis Wanita.
Dari Kiri ke kanan: Kairunisa Karim, Zaharah, Emily Mathew, Irene Lee,
ASP B.D.B. Wentworth, Raja Nor Jasmin, NG LEng Sim dan Lee Yok Lin
Penutup
Pelbagai onak dan duri besulamkan keringat dan air mata terpaksa dilalui oleh anggota pasukan polis dalam mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan undang-undang demi memastikan keharmonian rakyat pelabagai kaum dan kemakmuran Negara dipertahankan.
Kini, pasukan Polis Diraja Malaysia yang telah menginjak usia dua abad meneruskan kesinambungan usahanya dengan menumpukan perhatian kepada usaha membenteras kegiatan jenayah yang boleh mengancam kesejahteraan umat sejagat.
Selari dengan peredaran masa dan globalisasi, pasukan polis kini telah dilengkapi dengan kemahiran untuk menangani sebarang permasalahan bagi mendukung tugas utamanya, iaitu menjaga ketenteraman Negara dan kesejahteraan rakyat. Sesungguhnya, segala perjuangan dan pengorbanan anggota pasukan polis dalam mencapai dan mengekalkan kemerdekaan akan tetap terus dikenang dan dijulang sebagai wira-wira penegak undang-undang negara.

Profil Tokoh Pengkisah:

Y.A.Bhg Tun Mohamed Haniff Bin Omar
Y.Brs. Encik Paul Kiong
Y.Brs. Puan Kairunisa Binti Karim
Y.Bsr. Tuan Haji Aris Bin Musa

Sumber Rujukan:
Majlis Pengkisahan Sejarah 'Perjuangan PDRM Dalam Mencapai dan Mengekalkan Kemerdekaan Negara

2 ulasan:

Walinong Sari berkata...

Briged Utara PGA mempunyai sejarah penubuhannya sendiri, harap dapat disiarkan , untuk maklumat Putera, PGA pun polis juga.

asw berkata...

kekurangan info.. harap maaf.. sedang mencari maklumat rasmi... berserta fakta

Author

Johari Fotographer

“The picture that you took with your camera is the imagination you want to create with reality”

Johari Fotographer

“Today’s special moments. Tomorrow’s priceless treasures.”

Johari Fotographer

Don’t photograph what you see, photograph how you feel about what you see

Johari Fotographer

The one thing you can’t replace is your memories. Don’t let them fade away from overexposure

Designed By Johari Fotographer

Imej tema oleh richcano. Dikuasakan oleh Blogger.